Pilihanraya Kampus Penentu Halatuju Pelajar

Oleh : Ikhwan Nain

Pilihanraya kampus, merupakan satu penerapan sistem demokrasi di dalam IPT. Melalui sistem ini kepimpinan pelajar kampus dapat ditentukan dengan kuasa penuh berada di tangan para pelajar bagi menentukan pemimpin pilihan mereka. Calon pilihanraya yang mendapat suara majoriti akan mendapat mandat daripada pelajar untuk memimpin.

Walaupun ini merupakan kali kedua pilihanraya kampus akan dilaksanakan Politeknik KK, namun masih ada golongan yang berpendapat ianya sekadar melantik pemimpin. Ada yang tidak sedar, selain berperanan sebagai sistem yang bakal menentukan kepimpinan kampus, sebenarnya pilihanraya kampus juga merupakan penentu kepada halatuju pelajar Politeknik KK itu sendiri.

“Bagaimana kamu memilih pemimpin, begitulah kamu akan dipimpin”

Halatuju pelajar yang dimaksudkan di sini ini ialah dari aspek politik, sosial dan juga beberapa elemen yang berkait rapat seperti kebajikan dan kebebasan para pelajar. Di mana para pemimpin yang bakal dilantik ini lah yang bakal bertindak sebagai pengemudi kepada para pelajar sama ada akan berlaku perubahan ataupun tetap ditakuk lama.

Melalui sejarah ada beberapa situasi yang boleh kita ambil contoh betapa proses menentukan kepimpinan ini akan mempengaruhi halatuju sesebuah masyarakat. Antaranya proses pembentukan khulafah ar-rasyidin, di mana pemilihan pemimpin berdasarkan sistem syura telah dilaksanakan dengan baik sekali. Hasilnya sistem politik Islam semakin meningkat dari masa ke semasa, sehingga membawa penawanan Rom dan Parsi.

Bukan itu sahaja, jika kita lihat kepada pembentukan negara kita sendiri kita boleh melihat betapa proses pemilihan kepimpinan itu boleh menentukan pembentukan sebuah masyarakat. Contohnya di utara tanah air, dengan proses pemilihan yang mengutamakan pemimpin ulama’ sebagai barisan hadapan akhirnya terbentuk sebuah masyarakat yang berpegang teguh kepada Islam.

Walau bagaimanapun, bagi peringkat kampus tidak dinafikan ada beberapa faktor luaran yang boleh menggagalkan keberkesanan perlaksanaan sistem pilihanraya sekaligus menjadikan pilihanraya sebagai satu pembaziran wang dan masa. Antaranya ialah pendirian pihak HEP atau Hal Ehwal Pelajar yang bersikap terbuka atau sebaliknya kerana bagi peringkat Politeknik kuasa pelajar adalah terletak di bawah HEP berbanding di Universiti yang berada di bawah bidang selia Naib Canselor.

Melalui beberapa tinjauan secara kasar dalam kalangan pelajar Politeknik KK, rata-rata pelajar sebenarnya mahukan JPP yang bertindak atas kepimpinan sendiri semenjak Pilihanraya kampus yang pertama lagi namun ia tidak menjadi kenyataan. Tidak kurang juga ada yang berpendapat pilihanraya kampus sia-sia kerana pemimpin tidak mampu menyuarakan apa yang mereka mahukan.

Jika ini berterusan pada Pilihanraya Kampus 13 Januari 2011 ia kemungkinan besar akan memberikan kesan terhadap kesedaran politik para pelajar pada masa mendatang.

Kesimpulan, para pelajar perlu menyertai pilihanraya kampus ini dengan prihatin dan HEP perlu membuka ruang kepada kepimpinan kampus masa hadapan. Ia bukan hanya untuk anda, tetapi semua. Setiap undi akan turut dipersoalkan di akhirat kelak oleh itu pilihlah dengan bijak.

pandangan peribadi penulis : sekiranya pilihanraya ini sekadar 'adat' lebih baik ia dihentikan. (apa pandangan anda?)

Logo Baru Kelab Islah Polieknik Kota Kinabalu

Spesifikasi :

WARNA 

1. Putih melambangkan kesucian Islam.
2. Hijau melambangkan kesyumulan Islam.
3. Kuning melambangkan Islam adalah untuk seluruh alam termasuk manusia yang bukan beragama Islam.
4. Hitam melambangkan kemenangan Islam adalah pasti.


OBJEK

1. Al-Quran melambangkan Al-Quran dan As-Sunnah adalah hukum yang tertinggi dan dasar perjuangan Kelab Islah.
2. Bulan melambangkan Islam.
3. Bintang melambangkan kesyumulan Islam.


MOTO

"Mencari Redha Allah" merupakan tujuan hidup AJK Kelab Islah dan termasuk juga kepada orang Islam yang lain.

Kelab Islah bersama dengan Ustaz Nazri & Bob Lokman.

18 DISEMBER 2010 - Kelab Islah bertuah kerana dikunjungi oleh Ustaz Nazri dan Bob Lokman malam ini. Bob Lokman merupakan pelakon, pelawak, dan penulis lagu Malaysia telah berubah kepada muslim yang sebenar. Beliau kini mula bergiat aktif dalam bidang dakwah.

"Saya masuk Islam (menjadi muslim sebenar) baru beberapa bulan sahaja..." kata beliau (gambar di bawah) ketika menceritakan sedikit pengalaman beliau berdakwah kepada orang bukan Islam.

Bob Lokman

Ustaz Nazri (Guru Bob Lokman)

AJK Kelab Islah bersama Ustaz Nazri dan Bob Lokman.

"Mujahid mesti menunjukkan akhlaq yang baik. Mujahid tidak boleh meninggalkan Al-Quran," kata Ustaz Nazri ketika memberikan tazkirah kepada AJK Kelab Islah.

Mudah-mudahan kedatangan Ustaz Nazri dan Bob Lokman menjadi satu pembakar semangat AJK Kelab Islah supaya lebih bekerja keras di medan dakwah.

Allahuakbar!

'MENCARI REDHA ALLAH'

Pilihanraya Kampus Politeknik Kota Kinabalu


19 DISEMBER 2010 - Pilihan Raya Kampus Politeknik Kota Kinabalu akan diadakan pada tahun hadapan (2011). Pada sabtu yang lalu, pihak PoliKK baru sahaja menaikkan ‘banner’ tentang Pilihanraya Kampus. ‘Banner’ Pilihanraya Kampus boleh dilihat pada pagar gelanggang tenis dan dan pada dinding hadapan Pusat Islam.

Sehubungan itu, Kelab Islah telah menemu bual Saudara Al Mutahhara Kamaruddin (Gambar di sebelah kanan) yang merupakan Unit Pemantau Kelab Islah dan Mantan Ketua Unit Tarbiyah sesi Jun 2010 tentang Pilihanraya Kampus ini.

Beliau berkata, “saya  berharap calon yang menawarkan diri untuk merebut kerusi Jawatankuasa Perwakilan Pelajar  adalah dalam kalangan orang-orang yang layak dan sedia menunaikan amanah yang diberikan oleh mahasiswa Politeknik Kota Kinabalu. Calon hendaklah dalam kalangan orang yang taat pada Allah dan Rasulnya. Ketaatan kepada Allah perlu kerana dengan ketaatan kepada Al-Khaliq sahaja seseorang itu boleh dan layak menjadi pemimpin. Hal ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Oleh itu, mahasiswa Politeknik Kota Kinabalu perlu memilih calon JPP yang taat pada Allah. Sebagai contoh, calon hendaklah sentiasa menunaikan solat 5 waktu. Ini selaras dengan dengan firman Allah SWT :
"Sungguh, Allah menyuruhmu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sungguh, Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sungguh, Allah Maha Mendengar, Maha Melihat." (An-Nisa : 58).

Kesalahan mahasiswa mengundi calon yang tidak taat kepada Allah, adalah satu dosa di sisi Allah SWT kerana melanggar suruhan Allah SWT sebagaimana yang tercatat dalam petikan Al-Quran di atas.” Katanya ketika ditanya oleh Unit Penerbitan Kelab Islah.

Oleh itu, Kelab Islah berharap kepada seluruh mahasiswa Politeknik Kota Kinabalu memilih pemimpin yang adil dalam pilihanraya kampus tahun hadapan.

‘MENCARI REDHA ALLAH'