Mantapkan Tarbiyah AJK Kelab Islah.

Bismillahirrahmanirrahim.

Untuk memastikan Kelab Islah terus berada pada landasan yang betul, bagi saya sistem tarbiyyah Kelab Islah perlu disemak semula secara menyeluruh  dan segera untuk dikaji  keberkesanannya terutama misi melahirkan kader-kader dan kepimpinan masa depan.

Kelab Islah memerlukan anjakan dan keberanian untuk melahirkan kepimpinan Kelab Islah yang menepati acuan perjuangan kita sendiri. Satu  penilaian semula secara objektif terhadap elemen-elemen terpenting dalam  Kelab Islah seperti akhlak dan sahsiah kepimpinan, kekuatan  ukhuwwah, wala’ terhadap kepimpinan dan disiplin serta pengurusan Kelab Islah. Saya merasakan semacam terhakisnya elemen-elemen terpenting yang disebutkan tadi yang lambat laun menjadi api dalam sekam yang memusnahkan perjuangan kita.

Pemerkasaan  program-program tarbiyyah mesti dipertingkatkan dan dilaksanakan secara berterusan selaras dengan cabaran dakwah dan siasah. Agenda  tarbiyyah ini menjadi kewajipan nombor satu dalam Kelab Islah sebagai gerakan Islam. Kelab Islah mesti digerakkan dengan ‘amal Islami yang berteraskan 10 prinsip  perjuangan yang telah digariskan oleh al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna. Kesedaran ahli-ahli terhadap makna perjuangan Islam juga perlu dilihat semula supaya ahli tidak melihat  kuasa atau sebarang bentuk habuan dunia sebagai matlamat gerak kerja Islam. Gejala fikrah maddiyah (materialistik) mesti dihapuskan, sebaliknya ahli-ahli Kelab Islah perlu sedar bahawa matlamat kita adalah mardhatillah.

Melalui  tarbiyyah inilah, kita mengharapkan kesatuan fikrah dan ‘amal dapat diwujudkan, sekali gus menangani keegoan dalam diri ahli Kelab Islah yang kononnya sudah bijak dan tidak mahu terlibat pada gerakan Islam kerana hal ini boleh memecahkan dan melemahkan Kelab Islah. Unit Tarbiyyah juga hendaklah memastikan keseluruhan gerak kerja Kelab Islah berjalan di atas landasan amal jama’ie dan berpegang dengan prinsip Islam yang dipandu oleh sumber wahyu.            

Apabila kita memperoleh kejayaan dalam pilihan raya, sebahagian besar tenaga dan jentera kita telah bertukar menjadi jentera JPP. Kita akui bahawa ahli-ahli Kelab Islah dengan sendirinya menjadi mata, telinga, mulut dan tangan platform yang lain seperti JPK, RP dan lain-lain.

Kita sedar bahawa mesej dan dasar Islam tidak akan dapat disampaikan kepada mahasiswa tanpa bantuan kita semua. Tetapi, janganlah hendaknya kita mengabaikan gerak kerja tarbiyyah semata-mata kerana kita telah menguasai kerusi YDP JPP. Peningkatan tugas ini  terpaksa kita hadapi kerana kita adalah manusia yang dipilih oleh Allah untuk mentadbir Politeknik ini. Tetapi antara urusan JPP dan urusan Kelab Islah mestilah bergerak serentak supaya kekuatan  kedua-duanya dapat kita bina. Tidak ada makna kita memiliki ahli Kelab Islah yang ramai, tetapi tarbiyyah ahli yang lemah.

Saya menegaskan sekali lagi, supaya program-program tarbiyyah perlu dipertingkatkan dan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan jiwa individu muslim dapat dibina di dalam diri setiap ahli anggota gerakan Islam.

Wallahu'alam.