KEM PEMANTAPAN AQIDAH POLITEKNIK KOTA KINABALU, SABAH.

Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dan Kelab Islah (KI) telah mengadakan kerjasama untuk melaksanakan satu program yang dikhususkan kepada mahasiswa yang beragama Islam. Berikut adalah butiran-butiran  program tersebut :

Nama Program : Kem Pemantapan Aqidah PKK.
Anjuran : Biro Kerohanian & Moral, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar PKK.
Kerjasama : Unit Tarbiyah, Kelab Islah PKK.
Pengarah Program : Azman Hanafiah (Ketua Biro Kerohanian & Moral)
Tarikh : 25-27.2.2011 (Jumaat-Ahad)
Tempat : Masjid An-Nur (Tuaran, Kota Kinabalu)

Semoga program ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berjalan dengan lancar.

MENCARI REDHA ALLAH SWT

Surat Bantahan Program Hari Valentine Diterima Baik Oleh Pihak Pengurusan

11 RABI'UL AWWAL 1432 H  (14 FEBUARI 2011, ISNIN - Alhamdulillah, baru sahaja kelmarin Surat Bantahan Program Hari Valentine diserahkan kepada Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Politeknik Kota Kinabalu iaitu Encik Dullah Muluk. 

Dari kiri : Saudara Mohd. Azrie Ismail (Pengerusi Kelab Islah), Saudara Masedeh Rosmin (Pengarah Jentera Pilihanraya HPA), Encik Dullah Muluk (Timb. Peng. Sokongan Akademik), Saudara Al Mutahhara Kamaruddin (YDPJPP).

"Bagus juga kamu membuat bantahan ini supaya tidak membenarkan mahasiswa yang beragama Islam terlibat denga program ini," kata TPSA ketika YDP menyerahkan surat bantahan tersebut.

Penyerahan surat bantahan tersebut berlangsung selama lebih kurang lima minit dan Kelab Islah berharap semua mahasiswa yang beragama Islam tidak melibatkan diri dalam Program Hari Valentine.

"Larangan untuk tidak mengikuti Program Hari Valentine ini adalah untuk mahasiswa yang beragama Islam sahaja sementara mahasiswa yang bukan beragama Islam, kami umat Islam tidak akan sekali-kali menghalang mereka. Kita umat Islam berpegang pada ayat Allah yang bermaksud "Untuk kamu (bukan Islam) agama kamu, untuk kami (Umat Islam) agama kami", bermaksud program keagamaan agama lain, Islam tidak boleh menghalangnya, kerana itu kebebasan agama mereka," kenyataan Al Mutahhara yang merupakan salah seorang daripada penyokong Surat Bantahan Program Hari Valentine.

Kelab Islah juga berharap agar semua mahasiswa yang beragam Islam supaya menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang agama supaya tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti yang melanggar syariat Islam.

Mudah-mudahan kita semua berada dalam redha Allah SWT. 

Takbir! (Allahuakbar!)

Wallahu'alam.

MENCARI REDHA ALLAH

Kelab Islah mengedar 'Risalah Menyambut Hari Valentine'.

13 FEBUARI 2011, AHAD - Selesai sahaja menunaikan Solat Isyak secara berjamaah yang diimamkan oleh Saudara Mohd Azrie Ismail (Pengerusi Kelab Islah), para jamaah pula menunaikan Solat Sunat Hajat secara berjamaah untuk memohon hajat kepada Allah SWT supaya gerak kerja mengedarkan Risalah Menyambut Hari Valentine berjalan dengan lancar.

Selesai sahaja menunaikan Solat Sunat Hajat, para jamaah terutamanya AJK Kelab Islah berkumpul di Bilik Seminar Pusat Islam untuk mendengar taklimat mengenai perjalanan edaran risalah. Saudara Al Mutahhara telah mengetuai edaran risalah pada kali ini dan beliau juga yang memberikan taklimat perjalanan edaran risalah tersebut.


Saudara Al Mutahhara menyampaikan taklimat perjalanan edaran risalah.



Para jamaah duduk mendengar taklimat perjalanan edaran risalah.

"Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu (memberikan kemenangan) [Surah Muhammad : 7]. Oleh itu, sekiranya kita hendak memenangkan agama Allah, syaratnya adalah kita mesti berjuang yakni berkerja menyampaikan risalah Islam. Dan kita jangan takut, jangan gentar dan jangan mundur apabila kita menerima tentangan, cacian dan makian kerana semua ini telah dilalui oleh Rasulullah SAW dan tidak mustahil kita menerima cacian seperti Rasulullah SAW," tegas Al Mutahhara selepas memberikan taklimat perjalanan gerak kerja edaran risalah.

Sebelum kerja edaran risalah diteruskan, Saudara Al Mutahhara yang merupakan YDPJPP mengetuai bacaan doa dan sorakan takbir (Allahuakbar). Risalah diedarkan pada di cafetaria, gerai, student plaza, bilik kuliah umum dan diteruskan pada setiap blok kolej kediaman.


Mahasiswa yang berada di dalam cafetaria menyambut baik risalah yang telah diberikan.

Alhamdulillah, sepanjang perjalanan tidak ada masalah yang dihadapi oleh pengedar risalah. Apabila dilihat dari arah hadapan ataupun belakang, bagaikan tentera Badar yang mempunyai semangat jihad untuk bertembung dengan musuh Allah SWT.


Muslimat sedang menunggu di luar bilik kuliah umum untuk menyampaikan risalah kepada mahasiswa yang berada di dalam bilik kuliah tersebut.

Mudah-mudahan kerja kali ini dikira sebagai satu amalan baik dan mendapat redha daripada Allah SWT. Kelab Islah berharap supaya semua muslimin dan muslimat memboikot program yang bertemakan Hari Valentine sama ada di dalam Politeknik ataupun di luar Politeknik.

Wallahu'alam.

Allahuakbar!

MENCARI REDHA ALLAH

Hukum menyambut 'Hari Valentine'.

Tarikh 14 Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing.

Maka pada 14 Februari, pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah.

Pasangan-pasangan ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adegan-adegan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Saban tahun juga para ulama mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ia seperti menuang air ke daun keladi. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram. Ia adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom kuno dan juga Kristian.

SEJARAH SAMBUT HARI VALENTINE

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine, maka kita akan dapati bahawa terdapat empat pendapat berkaitan dengannya.

1)Pendapat pertama
Mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata.

Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak.

Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun.

Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu.

Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ia akan menambahkan kesuburan mereka.

2) Pendapat kedua
Mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.

i) Versi pertama.
Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II.

Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.

Pengorbanan yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan From your Valentine (Daripada Valentinemu).

Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

ii) Versi kedua.
Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin.

Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit.. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

3) Pendapat ketiga.
Ia dirayakan sempena kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu.. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. Tanggal 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

4) Pendapat keempat.Sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris. Di sini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.


HUKUM SAMBUT VALENTINE

Sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah serta disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Ini sebagaimana yang firman Allah SWT: Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. (al-Hajj: 67)

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri”. (riwayat al-Nasaai, no: 959).

Oleh itu hendaklah umat Islam membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu tiga kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Maulid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Quran dan lain-lain.

Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam. Malah ia berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masihi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini.

Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabda baginda: ”Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512).

Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Sheikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar”.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam”.

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah SWT.

Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar). (al-Baqarah: 120)



Sumber : PERPPIS TAWAU

Lawatan Muhibbah Pimpinan Kampus



10 Februari 2011 – Semalam telah berlangsung sebuah program anjuran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar yang turut melibatkan kerjasama antara Kelab Islah dan Jawatankuasa Pelajar Kamsis.

Wakil daripada Kelab Islah, diketuai oleh saudara Mohd. Azrie Bin Ismail manakala Jawatankuasa Pelajar Kamsis diketuai oleh Zukhairul.

Program tersebut bermula pada jam 8.30 malam di BKU 1 dengan ucapan daripada Yang Dipertua JPP, saudara Al Mutahhara bin Kamaruddin serta taklimat daripada pengarah program iaitu Armah Bte Arun, Ketua Biro Perpaduan dan Integrasi dengan dibantu oleh Saifudin Bin Jamilin, Ketua Biro Kebajikan dan Sosial.



Antara isu yang ditanya oleh warga kampus ialah  infrastruktur dan keselamatan warga kampus. Bagi menjawap persoalan tersebut YDP memaklum bahawa JPP sememang prihatin dengan masalah berkenaan di mana JPP telah memasukan Kempen Sifar Anjing dalam takwim mereka bagi menangi masalah berkenaan. Manakala persoalan berkenaan wifi percuma juga turut terjawap di mana YDP memaklumkan bahawa pengarah Politeknik KK bersetuju untuk mewujudkan keperluan berkenaan.

Antara harapan YDP ialah seluruh kampus bersedia untuk memberikan kerjasama bagi melicinkan kerja mereka. Turut tidak ketinggalan ucapan terima kasih daripada pengerusi Kelab Islah terhadap sokongan warga kampus politeknik kk.

Manakala pengerusi JPK pula berharap pelajar sentiasa menggunakan saluran yang telah disediakan bagi mengatasi permasalahan mereka dengan berkesan.

Diharap program ini dapat mengurangkan perbezaan antara pimpinan kampus serta mahasiswa Politeknik KK. Pada masa yang sama mengajak para pimpinan kampus untuk mendekati golongan yang memerlukan perhatian serta mewujudkan persefahaman dan keharmonian.


Lawatan dilakukan disetiap aras blok kediaman mahasiswa dan mahasiswi dengan mengikut kumpulan yang ditetapkan. Sedikit juadah turut disediakan semasa lawatan dan program berakhir pada jam 11.00 malam.