Lima Ciri Penting Pewaris Perjuangan Rasulullah S.A.W

1. Al-Wala' (Kesetiaan dan kejujuran).

Keikhlasan di dalam berjamaah adalah salah satu daripada 'Al-Wala'. Di mana, dengan lahirnya rasa ikhlas dalam diri seorang pejuang, akan membawanya kepada kesetiaan bersama jamaah yang didukungnya walaupun terpaksa menghadapi pelbagai ibtila yang besar.

Di zaman Rasulullah SAW, pelbagai sekatan yang dikenakan kepada orang-orang yang beriman. Antaranya ialah bangsa Quraisy Makkah mengharamkan untuk berjual beli kepada orang-orang yang beriman walaupun dalam kalangan orang-orang yang beriman itu adalah berbangsa Quraisy juga. Hal ini bersamaan dengan yang berlaku di negara kita.

***Pada 15 Oktober 2010 lalu, pembentangan Bajet 2011 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri. Malangnya, tidak ada projek yang disentuh di Negeri Kelantan yang terkenal dengan Bandaraya Islamnya, sedangkan Kelantan juga adalah salah satu negeri di Malaysia. Tambahan lagi penduduk Kelantan juga majoriti penduduknya berbangsa Melayu (HarakahDaily). Tidak dinafikan bahawa apa yang berlaku adalah sejarah yang berulang daripada zaman Rasulullah SAW yang mana percubaan untuk menyekat Islam daripada berkembang di seluruh dunia umumnya dan di Malaysia khususnya.***

Namun yang demikian, sebagai orang-orang yang beriman, kita tidak boleh mengalah dengan sekatan ini kerana jika sekatan ini berulang semula, tidak mustahil juga kemenangan Rasulullah SAW akan berulang tidak lama lagi dengan syarat kita hendaklah wala' dengan jamaah seperti sahabat Radiallahu ajmain wala' kepada jamaah Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW pada ketika itu.

2. As-Sam'u Watthoa'ah (Dengar dan taat).

Hal ini bersangkutan dengan Surah An-Nisa : 59 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad SAW), dan Ulil Amri (pemegang kekuasaan-selagi tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah) di antara kamu. Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya) , jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya."

Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas secara selari mengikut persetujuan pemimpin. Jika tidak taat, maka akan berlaku perpecahan walaupun pendapat itu dipandang baik.

Namun yang demikian, keputusan pemimpin bukanlah segala-galanya kecuali para Nabi dan Rasul. Kerana manusia biasa mempunyai kelemahan aqal. Jika berlaku perselisihan, hendaklah kembali kepada Al-Quran dan Sunnah dan perlu dilakukan perbincangan dengan sebaik-baiknya. Pemimpin juga perlu berlapang dada dengan pendapat orang yang dipimpin sekiranya pendapat orang yang dipimpin memberi kesan yang baik kepada jamaah.

3. Iltizam=Lazima=Wajib (Komitmen).

Komitmen yang baik adalah sangat penting sebagai seorang pejuang dan menjadi satu dosa jika tidak memberikan komitmen yang sepatutnya, Sebgaimana Firman Allah yang bermaksud :

"Jika kamu tidak menuju medan, nescaya kamu akan mendapat azab yang pedih."

Dalam ayat ini terdapat perkataan 'tanfiru', di mana perkataan 'tanfiru' berasal daripada perkataan 'nafara' yang membawa maksud 'berlari'. Jika dibacakan tafsirannnya, berbunyi :

"Jika kamu tidak berlari (bersungguh-sungguh) ke medan perjuangan, nescaya kamu akan di azab oleh Allah dengan azab yang sangat pedih."

Sebagai contoh, tidak datang usrah, tidak datang mesyarat, tidak hadir muqayyam, melengahkan kerja dan sewaktu dengannya juga dikira tidak memberikan komitmen ataupun tidak merasa wajib dan hal ini yang dimaksudkan oleh Allah SWT akan mendapat azab yang pedih.

4. Istiqomah.

Sabda Rasulullah SAW :

"Tiga perkara yang tidak memberi manfaat bersama-samanya oleh sebarang amalan ialah menyekutukan Allah, menderhakai kedua ibu bapa dan lari dari medan perjuangan (tidak istiqomah)."

Hadith ini adalah ancaman bagi orang-orang yang tidak istiqomah di dalam perjuangan Islam.

Namun perlu diketahui bahawa bukanlah dinamakan istiqomah seseorang itu kerana lamanya bersama jamaah Islam, tetapi istiqomah dimaksudkan di sini ialah sentiasa berdiri(bekerja) untuk menegakkan Islam.

5. At-Tadhohiyyah (Pengorbanan).

Pengorbanan adalah salah satu daripada perkara wajib sebagai seorang pejuang. Sebagaiman Saidina Abu Bakr As-Siddiq yang sanggup memberikan seluruh hartanya demi kepentingan Daulah Islamiyyah.

Firman Allah SWT dalam Surah As-Soff : 11 :

"(Iaitu) Kamu beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui."

Perlu diingat, pengorbanan tanpa perjuangan adalah sia-sia. Contohnya, orang yang suka menderma, tetapi bukan ke arah perjuang Islam, tetapi ke arah kemaksiatan.

Kesimpulan.

Semua perkara ini perlu disemaikan dalam diri seseorang yang mewarisi perjuangan Rasulullah SAW bagi menjamin kemenangan Islam itu dicapai.

Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad : 7 :

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolong kamu (memberikan kemenangan) sehingga meneguhkan tapak pendirian kamu."

Wallahu'alam.

Al Mutahhara Kamaruddin,
Ketua Unit Tarbiyah Muslimin,
Kelab Islah.

0 ulasan: