MAHASISWA YANG LEBIH MATANG




TARBIYYAH : Anda sibuk? Mengadulah kepada Allah, Dia sudah ada jawapan dan solusinya

Seringkali, kesibukan dijadikan alasan untuk tidak memenuhi tanggungjawab di dalam perjuangan. Kesibukan bukanlah satu masalah dalam memenuhi tanggungjawab perjuangan. Kedua-duanya adalah proses pengalaman yang sentiasa mematangkan diri.

Dilema yang sering menghantui kehidupan seorang aktivis dakwah yang bergelar mahasiswa perubatan terutamanya :

Bagaimana menghadapinya, yakni antara kesibukan tanggungjawab sedia ada dan tanggungjawab perjuangan?
Bagaimana mengendalikan diri kita dalam mendepani cabaran kesuntukan masa ini?
Ada orang yang sentiasa menggunakan kesibukan sebagai alasan.


Alasan tidak dapat datang majlis atau kuliah pengajian. Tidak dapat datang usrah. Tidak dapat datang mesyuarat dan macam-macam lagi program.

Ada juga kerana kesibukan dijadikan alasan tidak dapat beramal. Solat tidak berjemaah, tinggal zikir ma'thurat, tidak ada masa untuk al-Quran juga tidak dapat bangun malam bertahajjud.

Tambahan pula ada juga yang membuat alasan kerana tanggungjawab perjuangan, terabai langsung amal-amal fardi.

Sedar atau tidak, inilah pelbagai format alasan yang datang daripada nafsu dan kerendahan himmah seorang yang mengaku pejuang!

Justeru, tarbiyyah bukan semata-mata fikrah. Tarbiyyah bukan semata-mata kekuatan hujjah. Tarbiyyah bukan semata-mata ilmiyyah. Namun, ianya adalah proses perubahan melalui pengalaman beramal dengan ilmu, berpegang dengan fikrah juga pengalaman mengendalikan diri dalam berhadapan dengan arus kehidupan yang penuh dengan kesibukan dan tanggungjawab perjuangan - ust hasrizal

Fahamilah bahawa :

Tarbiyyah adalah satu proses merasai pengalaman. Bagaimana rasanya berpegang teguh dengan Islam sebagai cara hidup. Bagaimana rasanya beramal dan merasai lazat beramal. Bagaimana rasanya bila berjuang dan merasai pahit getir perjuangan. Bagaimana rasanya bersusah payah dalam perjuangan dan bersabar dalam bersusah payah.

Oleh itu, jika pernah rasa senang maka kena rasa juga susah. Jika pernah rasa menang maka kena rasa juga kalah. Jika pernah rasa kuat maka kena rasa juga lemah.

Semua itu memberi pengalaman merasai sunnah dan realiti perjuangan. Barulah seorang pejuang itu menjadi matang dalam proses pentarbiyyahannya.

Firman Allah Azza wa Jalla yang bermaksud :

Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga sedangkan belum lagi datang kepadamu apa yang telah mengenai orang-orang yang terdahulu dari kamu; mereka dirasakan dengan kesakitan dan kepapaan dan digoncangkan (pegangan) mereka sehingga berkata oleh Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, 'Bilakah lagi datang pertolongan Allah' Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir". (Surah al-Baqarah:214)

Oleh itu, ya abnai, kukuhkanlah amalanmu, terjunlah ke medan perjuangan, tinggalkanlah alam mimpi fikrah dan idealismamu.

Nescaya antum bakal menjadi pejuang aqidah dan fikrah yang sebenar.
Menjadi pencinta mati syahid demi syurga Allah yang tinggi.

p/s : Mahasiswa yang berkaliber sarat dan sinonim dengan idealismanya. Beridelisma yang penuh retorika sebenarnya sama sekali TIDAK SALAH bagi seorang MAHASISWA, kerana di situlah anda belajar dan mengajar diri. Bak kata orang kampung "dah nama pun pelajar, memang kena belajar dari setiap perkara".

Cuma apa yang penting, Jangan terlalu beridealisme sehingga tidak berpijak di bumi yang nyata, jangan sekali-kali menyisihkan perkara yang lebih aula' (penting) sehingga mendatangkan kemudharatan kepada orang sekeliling.

0 ulasan: